Showing posts with label Drama - soalan. Show all posts
Showing posts with label Drama - soalan. Show all posts

24.5.18

Drama - Berkhidmat untuk Negara


Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

AIMAN : Masalahnya saya tak mahu pergi. Saya nak minta daddy tolong dapatkan pengecualian
untuk saya. Saya tak sukalah program macam itu!

KHIR GHAZALI : Kalau itu yang Aiman nak daddy bantu, daddy akan kata tidak. Daddy mahu Aiman pergi sertai PLKN itu. Banyak faedah yang akan Aiman dapat. Cubalah berfikir seperti orang dewasa, Aiman bukan budak-budak lagi. Jadilah manusia yang sentiasa dahagakan ilmu dan pengalaman. Jangan hanya pandai meminta daripada berusaha.

AIMAN : Lecehlah berbincang dengan daddy. Semua keputusan daddy akan tentukan dan Aiman hanya kena ikut. Baik Aiman minta tolong daripada mummy pula. Mummy lebih faham akan jiwa dan kemahuan Aiman.

(Sedang AIMAN mahu berlalu meninggalkan daddynya, muncul pula MASNAH, mummy AIMAN. AIMAN terus mendapatkannya).

MASNAH : Apa yang dua beranak ini bincangkan? Dari tadi mummy dengar macam hangat saja?

KHIR GHAZALI : Anak awak ini, dah besar panjang pun asyik nak bermanja saja. Cuba awak ajar supaya dia tahu berdikari. Buat malu saja kalau anak lelaki macam ini.

(Dipetik daripada drama ‘Berkhidmat untuk Negara’ oleh Affiz Zulkarnean Adam dalam Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul)

(i) Apakah masalah yang timbul antara Aiman dengan ayahnya? [2 markah]

(ii) Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan program latihan bagi mereka yang baru
menamatkan alam persekolahan.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk menarik
minat remaja menyertai PLKN? [3 markah]

(iii) Huraikan satu nilai murni dalam petikan drama di atas dan satu nilai murni yang lain daripada
keseluruhan drama yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]

7.5.18

Drama - Bukan Gila

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soaIan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

BAPA : Pak cik rasa ada yang tak kena dengan dirinya. Semasa dia tinggal di sini dulu, pak cik perhatikan dia sering bercakap loghat Indonesia. Jarang sekali pak cik dengar dia bercakap dalam loghat bahasa kita. Doktor kata dia gila.

IBU : Gila yang dibuat sendiri. Kita tak suruh dia buat macam tu. Dia yang buat, biar dia sendiri yang tanggung. Mak cik tak terdaya lagi hendak melayan kerenah si Azmir tu.

ARIF : Mak cik, pak cik.... Saya rasa Azmir bukan buat-buat gila. Bagi saya dia bukan gila atau buat-buat gila, tapi Azmir sedang menderita suatu penderitaan yang tidak tertanggung.

PELAKON 1 : Kami lihat pada bajunya terdapat tanda nama, W.A.Domski?

IBU : ltu pun satu hal. Memalukan keluarga saja. Orang ramai dah heboh. Azmir masuk orang Putih. Dia tak mahu jadi orang Melayu lagi. Habis, macam manalah orang tak kata dia gila. Mak cik sungguh malu sekarang. Nak jumpa orang pun mak cik dah tak sanggup lagi.

PELAKON 2 : Bersabarlah mak cik. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini buat kita semua.

PELAKON 3 : Betul juga kata rakan saya tu. Peristiwa yang berlaku kepada Azmir mungkin berpunca daripada kurangnya perhatian dan kasih sayang.

IBU : Nak buat macam mana lagi, encik. Kami dah beri pelajaran hingga dia masuk ke universiti.

ARIF : Betul mak cik, tetapi.. Masuk ke universiti saja belum menjamin seseorang itu mendapat kasih sayang yang secukupnya.

(IBU dan BAPA berpandangan. Mereka semacam rasa bersalah)

PELAKON 1 : Pak cik, mak cik.. marilah kita sama-sama membantu Azmlr. Dia amat memerlukan perhatian dan kasih sayang. bukan cemuhan dan penghinaan. Dia memerlukan semangat dan perangsang daripada kita semua, bukan kutukan dan hukuman.

PELAKON 2 : Kami lihat, Azmir seperti sedang menderita suatu penderitaan yang tak tertanggung. Kutukan, cemuhan dan hukuman akan hanya menyebabkan sakit yang dialaminya menjadi lebih parah.

ARIF : Kami fikir, eloklah pak cik dan mak cik berjumpa dengan Azmir di hospital dengan segera sebelum terlambat. Dia amat memerlukan klta semua, lebih-lebih lagi pak cik dan mak cik. Kami minta diri dulu.

(Dipetik daripada drama ‘Bukan Gila‘ oleh Sharif Shaary dalam antologi Sejadah Rindu.)

(i) Bagaimanakah tanggapan keluarga Azmir terhadap Azmir semasa kunjungan Arif dan rakan-rakan ke rumahnya? [2 markah]

(ii) Sahsiah anak-anak merupakan cerminan didikan ibu bapa.
 Berikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak-anak. [3 markah]

(iii) Jelaskan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu pengajaran lain daripada keseluruhan drama tersebut yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]

27.3.12

Latihan Drama - Tiang Cengal Dinding Sayung

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

SANI : (Terasa dengan sindiran SABARIAH tetapi tetap bersabar) Kakak, jangan cakap begitu, kak.

SABARIAH : Habis kau hendak suruh buat macam mana? Cium kau? Sujud dekat kaki kau? Jangan hendak perasan, Sani. Jangan hendak tunjuk baik kau itu. Yang hilang itu bapa aku. Bapa aku. Kau tidak ada kena-mengena dalam perkara ini.

SANI : Kak... . Bukan itu maksud Sani, kak....

SABARIAH : Jangan panggil aku kakak kau.

SABRI : Angah! (Cuba meleraikan pertengkaran).

SABARIAH : Kau ingat, Sani! Aku lebih dulu makan garam daripada engkau. Kau jangan hendak memandai­-mandai. Kaubuat urusan engkau sendiri. Jangan campur urusan orang. Sudah mak, mari balik. Emak raung dengan air mata darah pun sudah tidak berguna lagi. Bapa sudah tidak ada. Mayatnya mungkin sudah hilang.

SABRI : (Meluru ke arah SABARIAH) Hiss, apa ini angah? Jangan ditengking herdik Sani itu. Tidak tengok emakkah? Jaga sikit mulut itu.

MAK JAH : Sia-sia saja sekolah tinggi-tinggi. Sombong tidak kena tempat. (Terasa kecewa lalu pergi dari situ. SHAHRUL jadi gelisah melihat gelagat kakaknya).

SABARIAH : Abang pun hendak biarkan emak macam ini? Sampai bila hendak tunggu? Sampai bila? Sampai air laut kering? Ini samalah macam abang hendak seksa emak. Sabariah berani potong jari kalau bapa masih hidup.

JIMAH amat terasa dengan kata-kata SABARIAH. Dia berjalan semakin jauh meniti gigi air membawa diri. SANI tetap mengekori emaknya. WAN yang tadi duduk memerhatikan dari jauh terus bergegas ke arah JIMAH. Dia merasakan dia perlu bersama-sama mentuanya.

(Dipetik daripada drama ‘Tiang Cengal Dinding Sayung’ dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)


(i) “Sabariah berani potong jari kalau bapa masih hidup”.
Apakah yang dimaksudkan oleh Sabariah dengan kata-katanya itu? [2 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa dapat mewujudkan keluarga yang bahagia?
[4 markah]

(iii) Nyatakan satu pengajaran dalam petikan drama di atas dan dua pengajaran yang lain dalam drama yang tidak terdapat dalam petikan. [3 markah]

27.10.11

Latihan Drama - Gelanggang Tuk Wali

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

TUK WALI keluar dengan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok miring. Penampilannya cukup hebat.

MAK UMI : Awak ni bersilat ke nak pergi menikah?

TUK WALI : (Berdiri gagah sambil memejamkan mata membaca doa pelangkah) Hari ini Khamis, langkah kanan, langkah pendekar.(Menekan lubang hidung kanan! Menarik nafas dari lubang hidung kiri.) Nafas lancar kiri kanan. Gerak hari ini, gerak menyerang! Tak perlu bertahan atau berundur, boleh mengumpan tapi berpada…yang eloknya biar menyerang terus sampai musuh tumbang.

MAK UMI : Tak mengapa undur selangkah ke belakang untuk maju dua langkah ke hadapan!

TUK WALI : Itu silat kamu, silat aku lain.

MAK UMI : Mesti menepis, mengelis, tepat, mengelak untuk masuk menyerang.

TUK WALI : Tak payah menepis, mengelak, buang masa! Kalau menyerang dengan petua yang betul, insya-Allah mengena.

RIPIN menunggang motosikal ke halaman rumah.

RIPIN : Wah, hebat betul, wak! Gugur iman janda-janda kampung hulu tu nanti!

MAK UMI : Entah! Pengantin pun tak bersolek macam tu!

TUK WALI : Aku dah tua, Ripin! Orang tua macam aku ni ibarat orang baru baik sakit! Semangat nak makan tu ada, tapi nak menyuap tak larat.

TUK WALI dan RIPIN ketawa besar.

(Dipetik daripada “Gelanggang Tuk Wali” oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja)

i. Apakah bukti bahawa Mak Umi tidak suka melihat cara Tuk Wali berpakaian?[2 markah]

ii. Pada pendapat anda, apakah kebaikan mempelajari seni pertahanan diri? [3 markah]

iii. Huraikan satu perwatakan Tuk Wali dalam petikan di atas dan satu perwatakannya yang lain dalam keseluruhan drama. [4 markah]

26.8.11

Latihan Drama - 1400

Baca petikan drama di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

INTAN SITI RAHIMAH : Sebenarnya, kita akan dapat cahaya mata.

PAK TUAN DOLAH : Apa? Betul?

INTAN SITI RAHIMAH : Betul.

PAK TUAN DOLAH : Dengar dan dengar betul-betul. Intan mesti jaga diri baik-baik, sebab anak ini anak penyambung baka. Apa-apa Intan mahu minta saja. Kita tambahkan orang gaji, supaya Intan lebih selesa. Kita tambahkan anjing lagi, supaya Intan dijaga dengan lebih ketat. Jangan
pergi ke surau lagi.

INTAN SITI RAHIMAH : Jangan ke surau?

PAK TUAN DOLAH : Jangan terima sesiapa pun yang datang dari kampung. Jangan tengok muka-­muka orang kampung. Pantang.

INTAN SITI RAHIMAH : Pantang?

PAK TUAN DOLAH : Dan, yang mustahak sekali, jangan makan ikan, ketam, udang dari sungai di kampung ini.

INTAN SITI RAHIMAH : Mengapa sampai begitu sekali?

PAK TUAN DOLAH : Jangan soal, dengar saja. Mesti makan benda-benda yang baik. Kita boleh order dari luar negara.

(Dipetik daripada drama ‘1400’ oleh Noordin Hassan dalam antologi Dirgahayu Bahasaku)

(i) Nyatakan perkara-perkara yang dipesan oleh Pak Tuan Dolah kepada Intan Siti Rahimah.
[3 markah]

(ii) Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa dapat mewujudkan keluarga yang bahagia? Kemukakan tiga saranan anda. [3 markah]

(iii) Huraikan satu persoalan dalam petikan drama di atas dan satu persoalan yang lain dalam keseluruhan drama tersebut. [3 markah]