Showing posts with label Rumusan - soalan. Show all posts
Showing posts with label Rumusan - soalan. Show all posts

8.8.21

K2 : S9 - Rumusan - Pemanasan global

BAHAGIAN C : RUMUSAN [30 markah]

Soalan 9
Baca petikan dan telitikan bahan grafik di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bahan 1
 

             Pemanasan global merupakan fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang dari bumi ke atmosfera. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana dan nitrogen oksida.

            Fenomena pemanasan global telah lama mendapat perhatian pakar meteorologi dan pakar sains di seluruh dunia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pemanasan global menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan. Buktinya, benua Eropah yang biasa dikaitkan dengan cuaca sejuk kini telah berubah coraknya menjadi panas. Fenomena ini juga diramal akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi. Di samping itu, pemanasan melampau mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti. Misalnya, beberapa tahun yang lalu negara kita pernah mengalami kenaikan harga makanan yang mendadak berikutan banyak tanaman musnah akibat cuaca yang tidak menentu.

            Pelepasan asap kenderaan dan kilang serta pembakaran terbuka telah menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida berlebihan atmosfera. Oleh itu, kita sewajamya mengurangkan pelepasan gas-gas berbahaya ke udara dan mengelakkan pembakaran terbuka. Peningkatan gas karbon dioksida akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan manusia terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat fenomena alam yang membimbangkan ini. Contohnya, penyakit berkaitan kulit disebabkan oleh kepanasan melampau yang membunuh sel-sel kulit dan penyakit katarak mata yang berpunca daripada pendedahan terhadap cahaya ultraungu secara berlebihan.

            Perkara yang lebih membimbangkan masyarakat dunia adalah apabila kepanasan global turut menyebabkan berlakunya kematian di beberapa buah negara. Menurut jurnal Nature, pemanasan global akan mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat. Sehubungan dengan hal itu, penduduk dunia harus mengubah cara hidup agar alam kembali sihat. Sumbangan paling mudah adalah dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan mengutamakan pengangkutan awam. Sekurang-kurangnya, sedikit sumbangan yang dilakukan mampu melambatkan kemusnahan bumi.


 Bahan 2 : Grafik 


 

K2 : S9 - Rumusan - Pengurusan kewangan

BAHAGIAN C : RUMUSAN [30 markah]

Soalan 9
Baca petikan dan telitikan bahan grafik di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bahan 1

        Umumnya, hanya sebilangan kecil generasi muda di negara kita yang bijak menguruskan kewangan. Kebanyakan daripada mereka gagal menguruskan kewangan atas pelbagai sebab. Antaranya, mereka lebih mementingkan gaya hidup tanpa memikirkan kesannya terhadap kemampuan kewangan mereka. Amalan suka memiliki telefon pintar atau alat berteknologi tercanggih di pasaran dan bertukar-tukar model terbaharu menjadi trend generasi kini. Hal ini menunjukkan generasi muda perlu mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan lebih-lebih lagi semasa berlakunya kegawatan ekonomi. Sewajarnyalah, generasi muda dinasihati supaya tidak membazir ketika berbelanja. Hal ini demikian kerana sebilangan daripada mereka gemar membeli barangan berjenama yang mahal harganya yang menyebabkan mereka menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan. Mereka sepatutnya menyediakan senarai perbelanjaan untuk memastikan kewangan sentiasa terurus.

        Kebanyakan generasi muda yang baru memasuki alam pekerjaan perlu membayar balik wang pinjaman pembiayaan pelajaran. Dalam hal ini, mereka sepatutnya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk membayar balik wang pinjaman tersebut. Perkara ini sangat penting bagi memastikan mereka dapat menguruskan kewangan masing-masing. Dalam hal perkahwinan pula, pada masa ini kos yang tinggi diperlukan untuk memulakan penghidupan baharu dalam berkeluarga. Oleh hal yang demikian, pasangan yang baru berkahwin disarankan supaya tinggal bersama-sama ibu bapa sebagai langkah penjimatan. Dalam tempoh berkenaan, pasangan tersebut dapat menjimatkan wang untuk persediaan bagi membeli rumah sendiri. Sebenarnya, pembelian rumah pada usia muda adalah lebih baik untuk mendapatkan tempoh pembiayaan yang lebih anjal. Bagi pasangan yang menyewa rumah, mereka perlulah memastikan kadar sewaan rumah tidak melebihi 30 peratus pendapatan bulanan isi rumah.

        Kita juga janganlah mengikut nafsu ketika berbelanja terutamanya apabila kita mempunyai wang yang lebih. Sebagai contoh, apabila mendapat bonus, pelbagai keinginan akan terlintas dalam fikiran seperti kereta baharu, perabot baharu dan percutian. Sesungguhnya kejayaan dalam pengurusan kewangan seseorang bergantung pada usaha masing-masing.


Bahan 2 : Grafik

 


23.11.20

Rumusan kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid dan peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak

Soalan 1 : Rumusan [30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid dan peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

    Telefon pintar wujud hasil perkembangan industri telekomunikasi yang bergerak pantas. Di Malaysia, bilangan murid yang menggunakan telefon pintar semakin meningkat, iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan pengguna. Ramai murid berhasrat untuk memiliki telefon pintar kerana mereka terpengaruh dengan parubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka juga turut dipengaruhi oleh rakan sebaya terutamanya yang telah memiliki telefon pintar. Keinginan untuk memiliki telefon pintar boleh menyebabkan berlakunya kes salah laku seperti kecurian dan pergaduhan.

    Kewujudan telefon pintar yang lengkap dengan kemudahan multimedia pelbagai guna menyebabkan murid sangat teruja untuk memiliki alat komunikasi mudah alih yang canggih ini. Setelah memiliki peralatan tersebut, mereka menjadi mudah leka dengan peranti masing-masing dan seterusnya membawa perubahan ketara terhadap tingkah laku mereka. Murid yang menggunakan telefon pintar lebih mementingkan hiburan berbanding aspek-aspek lain, contohnya dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan. Hal yang demikian boleh membawa kesan negatif terhadap kehidupan seseorang murid. Penggunaan telefon pintar ini juga menyebabkan murid sering berkomunikasi dengan mencemarkan bahasa seperti penggunaan singkatan dan bahasa slanga dalam khidmat pesanan ringkas (SMS), WhatsApp dan Instagram.

   Telefon pintar turut berperanan sebagai penghubung keluarga, rakan dan sumber maklumat. Namun jika disalahgunakan, telefon pintar tersebut mampu mendatangkan pelbagai keburukan. Keasyikan menggunakan telefon pintar menyebabkan murid mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajaran seperti tidak menyiapkan kerja sekolah dan tidak mengulang kaji pelajaran. Selain itu, keasyikan bermain telefon pintar sehingga larut malam menyebabkan murid hilang fokus semasa di dalam kelas kerana mengantuk akibat tidak cukup tidur. Lebih buruk lagi, terdapat murid yang bermain telefon ketika di dalam kelas hingga mengganggu sesi pembelajaran. Melalui telefon pintar juga, terdapat pihak-pihak tertentu yang menyebarkan maklumat yang belum tentu kesahihannya secara sewenang-wenang. Oleh sebab pemikiran yang kurang matang, murid mudah menerima dan mempercayai maklumat tersebut tanpa mengetahui kesahihannya.

    Perkara yang lebih membimbangkan kita ialah keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan murid. Perkara-perkara seperti ini perlu diambil berat oleh semua pihak dalam usaha untuk membendungnya. Oleh itu, larangan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap murid yang membawa telefon bimbit atau telefon pintar ke sekolah ada asasnya dan peraturan ini mesti difahami dan dipatuhi untuk manfaat semua pihak.

Soalan 2(a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata pencarian maklumat. [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa punca murid ingin memiliki telefon pintar.
Nyatakan punca-punca tersebut. [3 markah]

(iii) Penggunaan telefon pintar secara betul dan berhemah banyak membawa kebaikan.
Pada pendapat anda, apakah tindakan-tindakan yang boleh diambil untuk mendidik masyarakat menggunakan telefon pintar dengan berhemah? [4 markah]




30.6.16

Analisis Soalan Rumusan Nov 2001 - Jun 2016


SPM
ISU
SKOP SOALAN
(ASPEK 1 = ISI TERSURAT
ASPEK 2 = ISI TERSIRAT)
Nov 2001
Kerjaya : penulis
Tanggungjawab penulis
Jun
 2002
IKS
Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
Nov 2002
ICT
Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan
Jun  2003
Moral
Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
Nov 2003
Pelabelan makanan
Kepentingan pelabelan makanan
Jun  2004
Perubatan
Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan  awam di Malaysia.
Nov 2004
Pesakit kronik
Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.
Jun  2005
Kesihatan : pengurusan tekanan
Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu
Nov 2005
Kejiranan
Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
Jun  2006
Kerja berpasukan
Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.
Nov 2006
Budi bahasa
Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat
Jun
 2007
Terumbu karang
Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
Nov 2007
Disiplin murid
Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.
Jun
 2008
Amalan membaca
Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.  
Nov 2008
Penerokaan angkasa lepas
Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas  dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
Jun  2009
Kesihatan : keracunan makanan
Punca-punca  keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan
Nov 2009
Kesihatan : tidur
Kepentingan  tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
Jun   2010
Pemanasan global
Kesan pemanasan global dan sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat terhadap fenomena ini
Nov 2010
Kesihatan : coklat
Kebaikan makan coklat dan cara-cara memajukan industri coklat
Jun  2011
Kesihatan : berpeluh
Kepentingan berpeluh kepada manusia dan cara-cara menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti yang mengeluarkan peluh
Nov  2011
Bahasa kebangsaan
Kepentingan bahasa kebangsaan dan masalah-masalah yang dihadapi untuk memperkasakan bahasa kebangsaan
Jun  2012
Psikologi : perundingan
Ciri-ciri perunding yang berkesan dan usaha-usaha untuk meningkatkan kemahiran berunding
Nov  2012
Pelancongan kesihatan
Faktor-faktor pemilihan Malaysia  sebagai destinasi pelancongan kesihatan dan faedah-faedah industri pelancongan kesihatan kepada negara kita
Jun 2013
Kesihatan : cendawan
Khasiat cendawan terhadap kesihatan manusia dan usaha-usaha memajukan perusahaan cendawan
Nov 2013
Hutan bandar
Kepentingan hutan bandar dan cara-cara mengekalkan hutan bandar
Jun 2014
Kesihatan : obesiti
Faktor-faktor obesiti dan kepentingan mengawal berat badan
Nov 2014
Psikologi : kaunseling
Peranan kaunselor dan langkah menggalakkan          murid mendapatkan khidmat kaunselor
Jun  2015
Warga tua
Cara-cara menjalani kehidupan berkualiti pada hari tua dan sebab-sebab warga tua perlu dihargai
Nov 2015
Bekalan air
Punca-punca berkurangnya bekalan air bersih dan cara-cara menyedarkan masyarakat supaya berhemat dalam penggunaan air
Jun 2016
Telefon pintar
Kesan-kesan penggunaan telefon pintar dalam kalangan murid dan peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan telefon pintar anak-anak

21.2.15

Rumusan faedah industri desa

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah industri desa dan cara-cara memajukan industri desa. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Industri desa dapat ditakrifkan sebagai perusahaan yang bertempat di desa, diusahakan oleh masyarakat desa bagi menghasilkan barang-barang tradisional yang mudah. Industri ini mungkin diusahakan secara individu, berkumpulan melalui koperasi atau syarikat perkilangan. Lazimnya, industri desa diusahakan dalam skala yang kecil, menggunakan bahan-bahan semula jadi tempatan dengan kemahiran bersifat tradisional serta hanya memerlukan pelaburan yang rendah tetapi menghasilkan pulangan yang cepat. Industri ini seperti kraftangan, yang termasuklah anyaman, ukiran, sulaman, serta perusahaan memproses atau membuat makanan seperti keropok, kicap dan sos cili.

Industri desa sememangnya berpeluang cerah untuk dimajukan. Dalam hal ini, SIRIM Berhad telah menggunakan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan nilai tambah produk-produk industri desa. Sokongan daripada SIRIM membuktikan produk industri desa negara kita bermutu tinggi dan mengikut piawaian yang ditetapkan. Memang tidak dinafikan bahawa pada suatu ketika dahulu industri ini melalui zaman kegelapan, namun fenomena peralihan teknologi dan perubahan minda rakyat telah mengubah nasib industri ini hingga mampu memberikan sumbangan seiring dengan industri moden.

Kini, industri desa telah berjaya menguasai pasaran domestik. Bukan setakat itu, industri ini kini telah menembusi pasaran antarabangsa. Hal ini merupakan suatu kejayaan cemerlang bagi industri kecil yang mampu meneroka peluang perniagaan berteraskan import dan eksport. Industri ini juga mampu membantu memperkukuh ekonomi negara melalui penjualan produk sama ada di dalam negara mahupun di pasaran global. Pengeksportan hasil industri desa ini mampu mengukuhkan nilai mata wang Malaysia di pasaran dunia. Perkembangan industri desa turut membantu dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup sesebuah keluarga. Program “Satu Daerah Satu Produk” yang dilancarkan oleh kerajaan Melaka turut membuktikan sambutan yang menggalakkan daripada rakyat terhadap industri tersebut. Menerusi program ini, penduduk kampung dapat menghasilkan produk berkualiti dan memasarkan sendiri produk tersebut tanpa campur tangan orang tengah. Sebelum ini, produk penduduk kampung dibeli oleh orang tengah dengan harga yang rendah dan dipasarkan pula dengan harga yang tinggi. Situasi ini akan menyebabkan penduduk kampung tertindas oleh manipulasi harga pihak ketiga ini.

Selain kepentingan dari segi ekonomi, industri desa mampu mengekalkan nilai-nilai seni tradisi dan kebudayaan yang diwarisi sejak zaman-berzaman. Menerusi industri desa juga, kemajuan sektor pelancongan turut dapat ditingkatkan. Lazimnya, para pelancong akan membeli sesuatu barangan yang tidak terdapat di negara mereka. Oleh itu, mereka akan membeli barangan kraf tangan dan buah tangan yang lain sebagai tanda kenang-kenangan sewaktu berada di Malaysia. Oleh itu, semua pihak tidak harus meminggirkan industri tersebut yang ternyata mempunyai pelbagai kepentingan yang tersendiri.

 Soalan 2(a) — Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata berpeluang cerah. [2 markah]

(ii) Apakah masalah yang berlaku apabila menggunakan khidmat orang tengah dalam urusan jual
beli? [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah produk industri desa masih kurang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat tempatan?
Berikan tiga sebab. [4 markah]

18.5.12

Rumusan kepentingan teknologi maklumat


Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan teknologi maklumat dan langkah-langkah untuk melahirkan masyarakat yang celik teknologi maklumat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Era globalisasi yang melanda dunia tidak akan lengkap tanpa kewujudan perkembangan teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa teknologi maklumat membawa dimensi baru yang pelbagai pada corak kehidupan manusia. Penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan mempercepat usaha kita untuk mencapai status negara maju. Hal ini disebabkan teknologi ini akan membawa kita ke arah  perkembangan yang berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan menyampaikan maklumat secara elektronik.

Dalam konteks pendidikan, peranannya bukan setakat mampu membantu memudahkan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk memperluas persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini. Berdasarkan alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia. Dengan penggunaan teknologi maklumat, pelajar lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal.

Selain itu, kemajuan teknologi maklumat membolehkan  pakar-pakar perubatan berinteraksi tentang teknik-teknik pembedahan dan diagnosis yang terkini. Dalam kehidupan seharian pula, pembayaran pelbagai bil dapat dilakukan dengan mudah dan cepat. Jadi, kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat dielakkan dengan mudah. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat. Melalui konsep e-pembelajaran yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi melakukan interaksi empat mata, sebaliknya proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan internet sebagai medium. Dalam sesebuah organisasi, teknologi ini dapat berfungsi sebagai alat latihan yang berkesan dan efisien. Latihan secara teknik audio visual, penggunaan perisian komputer, dan arahan kerja secara elektronik merupakan sebahagian daripada penggunaan teknologi komunikasi yang dapat dipraktikkan berulang kali.

Walau bagaimanapun, teknologi yang dibangunkan bersama-sama dengan arus kemodenan ini turut digunakan untuk tujuan yang tidak wajar. Sekalipun dari sudut lain, teknologi maklumat membawa kebaikan dalam hidup manusia, namun kewujudannya dieksploitasikan pula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan begitu rakus untuk pelbagai matlamat. Menerusinya, teknologi canggih internet ini telah digunakan untuk melakukan pelbagai jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah. Perkembangannya yang begitu pantas juga mungkin akan mewujudkan sindrom ketagihan dalam kalangan pengguna internet. Virus komputer yang begitu dibimbangi sejak belakangan ini juga disebarkan melalui internet untuk menghapuskan data-data penting dan mengakibatkan kerosakan komputer. Situasi ini akhirnya akan mengakibatkan operasi sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem komputer tidak berfungsi dan data-data tidak dapat diakses.

Soalan 2(a) Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)    Berikan maksud rangkai kata interaksi empat mata. [2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan kesan negatif kemajuan teknologi maklumat. 
Nyatakan tiga kesan tersebut. [3 markah]

(iii)  Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan untuk menangani masalah penyebaran maklumat dan bahan yang negatif melalui internet? 
Jelaskan tiga langkah yang sesuai. [4 markah]

15.3.12

Rumusan tanggapan negatif terhadap warga tua

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang tanggapan negatif sesetengah anggota masyarakat terhadap warga tua dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jumlah warga tua akan berganda kepada kira-kira 828 juta orang pada tahun 2020 dan sejumlah besar daripada mereka berada di negara-negara membangun. Pertambahan ketara warga tua menjelang waktu itu nanti sebenarnya telah menimbulkan satu kesedaran yang mendesak kepada pengenalan cara dan corak pendekatan yang inovatif dalam sistem ekonomi, sosial dan politik, sama ada dari sudut sebuah negara mahupun dari sudut institusi keluarga. Bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi perubahan demografi sejagat, semua pihak perlu mengambil langkah pada usia muda untuk menjaga kesihatan, menuntut ilmu yang bermanfaat, bijak dalam mengatur urusan kewangan, mewujudkan rangkaian kenalan yang luas serta mendidik generasi muda dengan nilai-nilai murni dan moral yang tinggi.

Peningkatan golongan tua di negara ini bukanlah satu perkara yang membimbangkan tetapi persoalan yang wujud sekarang ialah penerimaan sebahagian anggota masyarakat terhadap golongan tua. Mereka berpandangan bahawa warga tua merupakan satu kelompok masyarakat yang tidak produktif. Tidak banyak orang yang melihat golongan ini sebagai golongan yang patut dihormati sepanjang masa. Mereka mengabaikan golongan tua sebagai pusat rujukan dalam mengharungi cabaran hidup ini. Selain itu, golongan ini dipeleceh sebagai golongan yang sudah ketinggalan zaman.

Pertambahan jumlah penghuni rumah orang-orang tua di negara ini jelas menampakkan kelemahan yang wujud dalam struktur institusi keluarga. Adakah warga tua hanya layak tinggal di tempat-tempat seperti itu? Jumlah mereka yang semakin banyak di tempat-tempat sedemikian seolah-olah mengiakan pandangan tersebut! Perkembangan yang mencemaskan ini membuktikan bahawa sebahagian generasi kini sudah kehilangan nilai-nilai murni, lalai terhadap tanggungjawab serta sibuk sepanjang masa.

Penggerak utama masyarakat, termasuk sektor awam dan swasta, media massa, badan sukarela dan juga kanak-kanak haruslah ditanam dengan satu sikap yang wajar terhadap warga tua menerusi wahana pendidikan yang betul. Warga tua tidak harus dianggap sebagai golongan yang terlalu mengongkong kebebasan. Pembinaan lebih banyak rumah orang-orang tua bukanlah jalan penyelesaian kerana selain menunjukkan kelemahan institusi keluarga, rumah-rumah itu juga akan menambahkan beban kerajaan, khususnya dari segi kewangan, sedangkan hal ini boleh dibendung oleh ahli keluarga itu sendiri. Kita perlu melahirkan semula potensi kepakaran warga tua bagi membuktikan nilai harga diri mereka kepada masyarakat, memberi kefahaman tentang proses penuaan, menolak pandangan buruk terhadap warga tua dan meningkatkan kesejahteraan warga tua melalui penyediaan suasana persekitaran yang penyayang.

Soalan 2(a) : Petikan Umum [9 markah]
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan berikut menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud seolah-olah mengiakan pandangan tersebut. [2 markah]

ii. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menghargai sumbangan warga tua? [3 markah]

iii. Pada pendapat anda, mengapakah isu warga tua perlu diberi perhatian? [4 markah]

29.7.10

Rumusan langkah-langkah meningkatkan kemajuan sektor pelancongan kesihatan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah meningkatkan kemajuan sektor pelancongan kesihatan di Malaysia dan kesan-kesannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pelancongan kesihatan merupakan satu lagi cabang ekonomi baru yang wajar diusahakan oleh kerajaan. Dengan kewujudan banyak hospital dan pusat kesihatan swasta, Malaysia sebenarnya mampu bersaing dengan negeri-negeri lain yang telah mempunyai prasarana kukuh dalam industri baru ini seperti Thailand, Jordan dan India. Kelebihan Malaysia ialah memiliki kepakaran yang tinggi untuk ditawarkan, selain kos perubatan yang rendah mengikut tukaran mata wang asing. Keindahan alam semula jadi yang dimiliki oleh negara ini juga penyumbang utama terhadap sektor pelancongan kesihatan. Dalam hal ini, beberapa buah syarikat swasta di negara ini telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menarik kedatangan pelancong luar.

Pelancongan kesihatan mempunyai potensi besar berdasarkan kepada kejayaan negara menarik sebanyak 174,200 warga asing dan menjana pendapatan sebanyak RM105 juta pada tahun 2004 berbanding sebanyak 103,000 pelancong dengan jumlah pendapatan hanya RM59 juta pada tahun 2003. Dalam usaha mendorong pembangunan sektor pelancongan kesihatan tersebut pelbagai langkah telah diketengahkan oleh pihak kerajaan. Perkara utama yang diberikan perhatian ialah menyusun pakej pelancongan kesihatan dengan menyelaraskan tawaran hospital dan hotel di samping membentuk rujukan rangkaian antarabangsa.

Malah dalam hal ini, pihak kerajaan menggalakkan hospital mendapat akreditasi dengan pusat perubatan terkemuka di dunia. Pendekatan yang lain ialah menggalakkan pembentukan syarikat multinasional Malaysia oleh pihak swasta. Apabila usaha sedemikian dilaksanakan perkembangan pelancongan kesihatan amat memberangsangkan terutamanya daripada pasaran Asia Barat dengan peningkatan mendadak jumlah pelancong dari Kuwait, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu. Usaha seterusnya yang dilakukan oleh pihak berkenaan ialah melonggarkan syarat imigresen bagi pakar perubatan dan terapi asing serta pesakit.

Kerajaan juga turut memberikan sokongan penyelidikan klinikal di institusi Kesihatan untuk membina pusat kecemerlangan klinikal. Kerajaan juga sentiasa mengalu-alukan usaha pihak swasta mengendalikan promosi perkhidmatan rawatan dan kesihatan di hospital-hospital swasta tempatan. Misalnya pada tahun 2004, Kementerian Kebudayaan, kesenian dan Pelancongan telah memberi kerjasama ekoran penubuhan Medical Services Coordination Sdn. Bhd(MSC) yang menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan kesihatan di negeri ini. Hal ini selari dengan dasar Persyarikatan Malaysia yang diamalkan oleh kerajaan.

Secara tuntas, pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi menawarkan kualiti perkhidmatan kesihatan bagi menarik lebih banyak warga asing melalui produk pilihan khidmat kesihatan swasta di Malaysia. Pemantauan yang berterusan turut dilakukan termasuk menubuhkan Unit Pelancongan Kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan. Walau bagaimanapun mereka yang terlibat dalam industri ini haruslah mempunyai tanggungjawab sosial dan mengutamakan perkhidmatan yang berkualiti, di samping mengambil kira keuntungan yang diperoleh.

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata tanggungjawab sosial. [2 markah]

(ii) Nyatakan faktor-faktor yang mendorong perkembangan pelancongan kesihatan di
Malaysia. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah kekangan-kekangan yang terdapat dalam proses
pelaksanaan pelancongan kesihatan ? [4 markah]

17.3.09

Rumusan kesan-kesan negatif penggunaan internet

Baca petikan di bawah dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan negatif penggunaan internet dan langkah-langkah untuk membendung penyalahgunaannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


Kelebihan utama internet berbanding dengan media lain ialah keupayaannya memberikan maklumat tanpa sekatan. Internet membolehkan masyarakat memperoleh dan menyebarkan maklumat dengan bebas. Internet bukan sahaja menjelaskan konsep demokrasi maklumat, malah dapat mengubah cara manusia berkomunikasi. Perubahan cara komunikasi inilah yang menerbitkan krisis dalam aspek keselamatan maklumat dan aspek tanggungjawab.


Sesungguhnya, pengenalan internet menimbulkan perdebatan dalam pelbagai isu. Penyebaran bahan imperialisme yang dapat meruntuhkan nilai-nilai budaya dan moral sesuatu bangsa jelas menunjukkan bahawa internet mudah dikaitkan dengan perkara-perkara yang kurang menyenangkan. Internet merupakan media yang membolehkan sesiapa sahaja menerbitkan bahan kepada masyarakat dunia dengan kos yang sangat murah. Hakikat ini telah menyebabkan kerajaan-kerajaan di seIuruh dunia cuba mengawal media baru ini. Keupayaan rangkaian canggih ini menyebarkan imej digital menyebabkan internet sering dijadikan wahana untuk menyebarkan bahan tidak bermoral secara talian terus.



Di samping itu, internet digunakan juga untuk menyebarkan pelbagai judul buku yang diharamkan di sesetengah negara. Malah, penerbit buku di seluruh dunia mempersoalkan pelanggaran hak cipta yang banyak dilakukan dalam internet. SeIain itu, rangkaian ini juga digunakan untuk menyebarkan iklan yang mungkin tidak diterima oleh media lain, kerana iklan itu melanggar kod etika pengiklanan seperti mengeksploitasikan wanita dan cita rasa kanak-kanak. Kebebasan penyebaran maklumat menyebabkan internet digunakan untuk menyebarkan fitnah dan khabar angin terhadap kerajaan atau organisasi tertentu. Internet turut menimbulkan masalah perundangan terbesar dalam undang­-undang harta intelek dan kebebasan hak asasi.


Beberapa terbitan Ensiclopedia World Wide telah disebarkan melalui internet tanpa izin pemegang hak ciptanya. Perbuatan tersebut memang menyalahi undang-undang, tetapi perkara ini telah berlaku dalam ruang siber dewasa ini. Kebimbangan terhadap internet turut tertumpu terhadap kegiatan jenayah ekonomi dan penipuan dalam transaksi talian terus. Internet menjadikan sempadan geografi semakin tidak jelas. Internet sering mencabar amalan budaya dan moral. Menyedari hakikat ini, banyak negara berusaha mengambil Iangkah-Iangkah yang sewajarnya bagi memerangi penyalahgunaan internet.


Soalan 2 : Pemahaman [10 markah]


Soalan 2(a) — Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Apakah maksud rangkai kata
sering dijadikan wahana? [3 markah]

(ii) Internet mempunyai beberapa kebaikan. Nyatakan kebaikan tersebut. [3
markah]

(iii) Berikan pendapat anda tentang ciri-ciri laman web mata pelajaran yang menarik. [4
markah]