Showing posts with label Sajak - nota. Show all posts
Showing posts with label Sajak - nota. Show all posts

17.4.16

Sajak Erti Hidup Bererti


Rangkap
Maksud
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Penyajak sering memikirkan nasib malang hidupnya setiap hari dan tidak pernah menampakkan tanda akan berubah. Tiada sesiapa yang datang menziarahi dirinya yang telah tua dan kesunyian.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Kebahagiaan  hidup yang diimpikan  oleh penyajak  hanya tinggal harapan yang tidak kesampaian sahaja  semasa dia sudah berada di penghujung usia. Anak-anak kandungnya sendiri sudah melupainya dan tidak sanggup untuk menjaganya. Anak-anaknya saling mengelak untuk menjaganya. Penyajak terpaksa mengurus kehidupan diri sendiri dan menanggung penderitaan tanpa tempat bergantung hidup.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun 
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Penyajak berasa dirinya tidak  dihargai dan diperlukan lagi oleh anak-anak kandungnya sendiri. Penyajak berharap agar anak-anaknya sama ada yang sanggup berbakti atau yang telah melupakannya akan diberikan keinsafan. Penyajak berharap mereka dapat hidup dengan berkasih sayang dan menggantikan hubungan yang hambar sebelum ini. Mereka harus sedar bahawa dalam putaran hidup ini akan ada yang hidup dan mati. Tuhan sahaja yang kekal abadi.

Sajak Pesan Lelaki Kecil kepada Gadis Kampus



Rangkap
Maksud
Kuhantar kau mengecapi angin baru
udara lain dari kampung bendang kuningmu
bumantara asing dari yang sering kaumesrai
yang sama sekali berbeza
dengan suasana suntimu
kau nikmatilah angin dan udara ilmu itu
memesrai azimat dan tangkal
dari tangga gading.

Penyajak menghantar anak gadisnya ke institusi pengajian tinggi di bandar untuk mengharungi suasana kehidupan dan persekitaran yang berbeza dengan suasana di kampung halaman yang menjalankan aktiviti bersawah padi. Penyajak berharap anaknya berusaha bersungguh-sungguh mempelajari segala disiplin ilmu untuk kebaikan dirinya pada masa hadapan.
Kulepaskan kau menjadi burung putih
dengan sayap berkembang
menongkah awan perak dan kabut dingin
mengenal kalimat hujan dan bilah petir
menyelit antara sembilu nasib
dan waras akal.

Penyajak berharap kebebasan yang diperoleh anaknya itu mampu menjadikan dirinya seorang gadis yang pandai menjaga maruah diri dan cekal menghadapi cabaran serta mampu menggunakan kewarasan akal untuk membezakan kebaikan dengan keburukan. Dia berharap anak gadisnya mampu menghadapi pelbagai dugaan apabila berjauhan dengan keluarga.


Di awan kampus yang sarat ilmu
hadir sihir angin bernafas api
di pohon kampus yang tegar status
berceracak selumbar noda mengabur fikir
di padang kampus yang hijau pertimbangan
tumbuh gunung ego menghalau pekerti.

Penyajak mengingatkan anaknya bahawa walaupun menara gading merupakan tempat melahirkan bijak pandai dalam pelbagai lapangan ilmu, ada juga anasir jahat yang tersembunyi dan mampu melalaikan serta merosakkan keperibadian seseorang yang masih kurang matang dalam membuat keputusan. Seseorang itu mungkin akan mula menjadi sombong dan terlibat dalam gejala negatif sehingga mengetepikan budi bahasa.

Pandai-pandailah kau terbang
menongkah awan mulus dan kabus dingin
jangan kau pulang
dengan percikan duka dan balutan luka
di sayapmu yang patah

Penyajak mengingatkan anak gadisnya supaya bijak membawa diri dan mampu menempuh segala dugaan dan pancaroba sepanjang tempoh pengajiannya. Dia berharap anaknya itu tidak pulang dengan kegagalan dan penyesalan akibat daripada tidak mampu menepis godaan dan cabaran hidup di kampus.

13.4.16

Sajak Sejadah Rindu


Rangkap
Maksud
Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu

Penyajak termangu/ terdiam sambil bermunajat kepada Allah SWT sewaktu berada di atas sejadah. Dia mengadu kepada yang Maha Esa sambil memuji kehebatan dan kebesaran Yang Maha Agung. Timbul kesedaran pada dirinya atas segala kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini. Sebelum ini jiwanya selalu tertutup untuk memikirkan kesalahannya yang lalu.

Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.

Dengan menggunakan pancaindera yang dikurniakan Tuhan, dia merayu agar Tuhan menunjukkannya jalan kebenaran biarpun akur tentang segala kekurangan dirinya sebagai manusia biasa. Dia berharap agar segala taubatnya diterima sebelum dia meninggal dunia.

Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.

Dia menangis mengenangkan dosanya dan bertaubat dengan ikhlas sambil menyerahkan diri kepada Tuhan. Dia menangis dalam suasana yag sungguh sepi sambil menyatakan keinsafan diri terhadap kesalahan lalu.

Hati ini luluh
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.

Keegoan dan kesombongan diri penyajak hilang. Penyajak memuji keagungan Tuhan di atas sejadah. Dia memohon keampunan dengan sepenuh hati dengan penuh rasa takut hanya kepada Tuhan.

Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Penyajak mengharapkan Tuhan membimbingnya/ menunjukkan jalan kepadanya/ memberikan peluang kepadanya untuk menjadi insan/ hamba yang patuh kepada perintah-Nya sepanjang hayat. Dia juga berharap agar dirinya tidak leka/ lalai/ alpa dengan kehidupan di dunia yang fana/ tidak kekal.


19.6.11

Arkitek Kota (Sasterawan Negara Muhammad Hj Salleh)

Maksud
Rangkap 1
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.

Rangkap 2
Hal ini demikian kerana mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.

Rangkap 3
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempesona.

Rangkap 4
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea yang bernas.

Tema
Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.

Persoalan
i. Kepentingan sikap prihatin dalam memahami sesuatu keadaan.
Sikap prihatin sangat penting supaya sesuatu kedudukan sesuatu perkara itu dapat difahami.

ii. Kepentingan meneliti pembangunan kota daripada pelbagai aspek.
Pembangunan kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.

iii. Kepentingan menjaga alam sekitar.
Alam sekitar perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

iv. Kemampuan generasi muda mencetuskan pelbagai idea bernas.
Golongan ini dihargai kerana mempunyai idea-idea baru yang bernas.

Nilai Murni
i. Cinta akan alam sekitar.
Alam sekitar perlu disayangi.

ii. Bertoleransi.
Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian.terutama di kota.

iii. Bertanggungjawab.
Kita bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar.

iv. Kebijaksanaan.
Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.

v. Rasional.
Kerasionalan penting dalam membuat pertimbangan.

Pengajaran
i. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.

ii. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara..

iii. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.

iv. Kita hendaklah memikirkan risiko bencana alam yang mungkin berlaku akibat daripada pembangunan kota.

v. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif yang sesuai.

Di Bawah Langit Yang Sama (Lim Swee Tin)

Maksud
Rangkap 1
Penyajak menggambarkan bahawa walau di mana-mana pun kita berada, kita menghirup udara yang sama dan berada di bumi ciptaan Tuhan. Taraf manusia pun sama.

Rangkap 2
Penyajak kagum akan gerimis di kota London dan terpesona dengan tiupan bayu dingin di Washington. Namun aneka warna tumbuh-tumbuhan tetap serupa. Tempat-tempat lain yang mempunyai keisimewaan tersendiri juga didiami oleh manusia.

Rangkap 3
Penyajak ingin menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan berkongsi impian yang sama iaitu melihat keamanan dan keharmonian dunia. Beliau ingin melihat dunia bersama-sama bagi memperjuangkan keamanan.

Rangkap 4
Penyajak mendapati manusia sering dipisahkan oleh sempadan negara dan untuk memasuki negara tersebut perlu ada dokumen rasmi seperti pasport dan visa. Penyajak menyeru rakyat di dunia agar sama-sama berjuang mencapai keamanan dunia serta mengikis rasa benci dan dendam.

Tema
Kedudukan manusia yang sama taraf.
Walaupun manusia itu berada dan dipisahkan oleh sempadan, mereka setaraf dan mengimpikan kehidupan yang aman dan harmoni.

Persoalan
i. Keunikan dan keindahan alam semula jadi.
Setiap tempat mempunyai keindahan alam semula jadi yang tersendiri.

ii. Harapan dan impian manusia sejagat untuk kehidupan yang aman dan harmoni.
Setiap orang mempunyai impian dan harapan untuk kehidupan yang aman dan harmoni.

iii. Pemisahan manusia disebabkan faktor garis sempadan geografi.
Manusia dipisahkan oleh faktor persempadanan.

iv. Kepentingan hormat menghormati sesama manusia.
Manusia perlu saling menghormati dalam kehidupan.

Nilai Murni
i. Menghargai keindahan alam.
Keindahan alam perlu dihargai.

ii. Hormat menghormati.
Nilai ini penting dalam kehidupan seharian.

iii. Bertoleransi.
Toleransi penting dalam kehidupan bermasyarakat.

iv. Bekerjasama.
Kerjasama penting untuk menjayakan sesuatu aktiviti.

Pengajaran
i. Kita mestilah menganggap manusia sebenarnya sama taraf walau di mana-mana pun mereka berada.

ii. Kita mestilah menganggap setiap tempat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

iii. Kita hendaklah sedar bahawa manusia seringkali dipisah dan dibezakan oleh sempadan waktu dan tempat

iv. Kita mestilah mewujudkan hubungan harmoni sesama negara dan rakyatnya.

v. Kita hendaklah mengimpikan kehidupan yang lebih baik dan harmoni.

16.5.11

Bangkitlah (Rejab F.I)

Maksud
Rangkap 1

Penyajak menyeru anak bangsanya agar sedar daripada terlena dibuai kelalaian. Negara sudah lama merdeka dan semakin maju.

Rangkap 2
Negara kita semakin makmur dan bangsa-bangsa asing sibuk merebut kekayaan tanah air. Penyajak tertanya-tanya akan sebab anak bangsanya masih leka.

Rangkap 3
Penyajak menyeru anak bangsanya supaya bangkit daripada lena agar mereka tidak menyesal. Kekayaan hasil bumi negara semakin berkurangan dek pembangunan.

Rangkap 4
Penyajak berasa risau akan masa depan bangsanya yang mungkin terus ketinggalan dan hidup dalam kesusahan. Beliau tidak mahu bangsanya berputih mata.

Rangkap 5
Jikalau bangsanya tidak mahu perkara itu berlaku, mereka perlu bangkit dan berusaha. Masih ada waktu dan kesempatan mereka untuk maju dan mengejar arus pembangunan.

Tema
Kesedaran anak bangsa perlu untuk bangkit daripada leka dalam mengejar arus pembangunan selepas kemerdekaan.
Anak bangsa harus berusaha gigih merebut kemakmuran negara agar tidak menyesal.

Persoalan
i. Kepentingan mengejar arus pembangunan. Arus pembangunan perlu disedari dan diikuti oleh anak-anak.

ii. Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapa yang leka. Kemajuan dan pembangunan negara tidak akan menunggu sesiapapun.

iii. Sumber bumi dan khazanah negara semakin berkurangan.
Hal ini perlu disedari oleh semua orang.

iv. Masa depan anak bangsa yang masih leka.
Kelekaan anak bangsa merunsingkan penyajak tentang masa depan mereka.

Nilai Murni
i. Kegigihan.
Kegigihan diperlukan untuk mengejar kekayaan.

ii. Kerjasama.
Semangat ini diperlukan untuk merebut peluang yang ada.

iii. Kerajinan.
Kerajinan diperlukan untuk memajukan diri.

Pengajaran
i. Kita tidak boleh leka walaupun telah merdeka supaya hak dapat dipertahankan.

ii. Kita perlulah merebut peluang yang ada supaya dapat mencapai kecemerlangan.

iii. Kita perlulah bersaing dengan bangsa lain supaya dapat menjamin kemajuan.

iv. Kita janganlah leka kerana kelekaan menyebabkan kita menderita dan terus dihimpit kemiskinan.

Kecek (v) (Awang Abdullah)

Maksud
Rangkap 1

Seorang pengarah dalam sebuah bank sibuk mengumpul kekayaan dengan hasil simpanan pelanggan. Semasa menjalankan tugas dia begitu licik pecah amanah dan menggelapkan wang. Perbuatan jenayah itu telah lama dilakukan.

Rangkap 2
Di kampung pula, seorang petani hidup dalam serba daif dan kekurangan. Dia tabah dalam membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Namun dia tidak pernah mengambil hak orang lain dalam usaha untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

Rangkap 3
Di kawasan pantai, seorang nelayan juga terus dibelenggu kemiskinan. Anak-anaknya turut dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan. Namun dia juga tidak pernah menggunakan hasil titik peluh orang lain sepanjang meniti kehidupan yang semakin lama semakin dihimpit kemiskinan.

Rangkap 4
Setiap dosa dan pahala, kebaikan dan kejahatan setiap individu itu akan dicatatkan. Mereka akan mendapat pembalasan daripada Tuhan seperti yang telah dijanjikan.

Tema
Kepentingan sikap amanah dalam menjalankan tugas.
Contohnya, dalam mencari rezeki kita perlu amanah kerana wang yang diperoleh digunakan untuk menyara keluarga.

Persoalan
i. Sikap pecah amanah oleh golongan berjawatan tinggi.

ii. Golongan miskin yang terus dibelenggu kesusahan hidup.

iii. Setiap perbuatan pasti mendapat balasan seperti yang dijanjikan oleh Allah.

Nilai Murni
i. Amanah
Contohnya, apabila menjalankan tugas, laksanakan dengan penuh amanah.

ii. Bertanggungjawab
Contohnya, bertanggungjawablah untuk mencari yang halal.

iii. Kegigihan
Contohnya, walaupun kesusahan melanda, kita perlu gigih berusaha mencari rezeki.

iv. Bersimpati
Contohnya, perasaan ini perlu wujud terhadap golongan kurang berada.

v. Rasional
Contohnya, dalam menjalani kehidupan, seseorang itu perlu berfikiran rasional.

Pengajaran
i. Kita hendaklah amanah semasa menjalankan tugas supaya dihormati oleh masyarakat.

ii. Seseorang ketua keluarga hendaklah mencari rezeki yang halal supaya kehidupannya sentiasa diberkati.

iii. Kita tidak boleh mencari kekayaan dengan menindas orang lain kerana akhirnya akan memudaratkan diri sendiri.

14.4.11

Dirgahayu Bahasaku (Ahmad Sarju)

Maksud
Rangkap 1

Bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa yang berkedudukan tinggi. Martabatnya dijunjung tinggi dan sebati di jiwa bangsa Melayu yang terkenal dengan budi bahasa, kesetiaan dan sikap amanah.

Rangkap 2
Bahasa dilihat sebagai imej/ identiti/ harga diri/ simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan kedudukannya agar terus teguh dan mantap dan menjadi wahana yang berkesan dalam proses mengkaji ilmu selain berperanan penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan.

Rangkap 3
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang dengan semangat yang kental untuk mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada di dunia ini.

Rangkap 4
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah yang gemilang sebagai pelayar yang hebat. Mereka begitu berani menjelajah ke seluruh pelusuk dunia dalam menjalin perhubungan diplomatik dan menjalin persaudaraan dengan masyarakat luar. Bermula dengan usaha itulah, bahasa Melayu mula tersebar dan menunjukkan kemampuannya sebagai bahasa yang berwibawa.

Rangkap 5
Bahasa Melayu sentiasa disanjung tinggi. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bahasa Melayu sangat indah dan menjadi bahasa ilmu. Bahasa Melayu dimanfaatkan dengan mudah untuk menjalin silaturahim dan sangat bertatasusila. Bahasa Melayu dicetuskan oleh bangsa Melayu yang menempa kejayaan demi kejayaan dari semasa ke semasa.

Tema
Semangat cinta akan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.

Persoalan
i. Kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu perlu dimartabatkan sebagai bahasa pertuturan utama di negara ini.

ii. Perjuangan memartabatkan bahasa.
Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.

iii. Sejarah kegemilangan bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya yang tersendiri.

iv. Fungsi atau peranan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi.
Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Nilai Murni
i. Bersopan santun.
Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.

ii. Kesetiaan.
Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan. Bangsa Melayu tetap setia menggunakan bahasanya sendiri.

iii. Amanah.
Warisan bangsa perlu dipertahankan. Bangsa Melayu bertanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan martabat bahasa Melayu.

iv. Kasih sayang.
Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai dan mempertahankan bahasanya sendiri.

v. Bersatu padu
Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatu padu.

vi. Hormat-menghormati
Masyarakat antarabangsa menghormati status bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

vii. Keberanian
Bangsa Melayu terkenal sebagai pelayar yang hebat ke seluruh pelusuk dunia.

Pengajaran
i. Kita hendaklah menunjukkan rasa sayang dan bangga sebagai penutur bahasa Melayu.

ii. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahankan dan memartabatkan bahasa Melayu .

iii. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

iv. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan dihormati serta diiktiraf oleh masyarakat dunia

Contoh Soalan KBKK
ii. Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk memartabatkan bahasa Melayu. [3 markah]