14.7.25

K2 : S8(i) - Pemahaman

Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

"Kenapa ayah tak pernah ceritakan kepada kami perkara ini?" tanya Adnan lagi.
"Ayah sengaja merahsiakannya kerana itu adalah pesanan datuk kamu. Ayah juga berpesan kepada kamu rahsiakan perkara ini dan jangan hebahkan kepada sesiapa."
"Kenapa pula ayah?" Adnan menggaru-garu kepala.
"Moyang kita penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah. Oleh itu, ayah tak mahu orang ramai memandang serong kepada kita," jawab Pak Saidi.
"Kenapa pula mereka memandang serong?" tanya Adnan lagi.
"Ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka. Ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris," jawab Pak Saidi.
"Baru saya faham, ayah. Ceritalah lagi tentang asal-usul keturunan kita," kata Adnan.

(Dipetik daripada novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib)

Nyatakan sebab-sebab ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka. [4 markah]
-pesanan datuk Adnan
-moyang mereka penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah
-ayah Adnan tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka
-ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka
-ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris
(3 isi – 4 markah)
 
Contoh jawapan:
Ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka kerana akur akan pesanan datuk Adnan. Selain itu, perkara itu disebabkan moyang mereka merupakan penentang Inggeris dan menjadi orang buruan penjajah. Di samping itu, dia merahsiakan hal itu kerana tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka.

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang menimbulkan rasa kagum pembaca bagi setiap novel

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih dan Bimasakti Menari.

Peristiwa yang menimbulkan rasa kagum pembaca dalam novel Pantai Kasih ialah apabila Dr Raiha tabah berdepan dengan ancaman daripada suaminya, Dr Sadiz termasuk paksaan supaya dia menggugurkan anak dalam kandungannya yang cacat. Peristiwa ini menyebabkan pembaca kagum akan ketabahan seorang ibu menghadapi cabaran dalam menjaga anak yang mengalami kecacatan dengan penuh kasih sayang.

Peristiwa yang menimbulkan rasa kagum pembaca dalam novel Bimasakti Menari pula ialah apabila Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik berusaha untuk merealisasikan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor dan berani berdepan dengan ancaman yang membahayakan keselamatan diri apabila diculik oleh penjahat yang diupah oleh Dato' Johann Arlington-Majid bagi menggagalkan usaha tersebut. Peristiwa ini menyebabkan pembaca kagum akan kegigihan dan keberanian individu menangani isu pencemaran alam sekitar walaupun keselamatan diri terancam.

26.11.22

K2 : S8 - Novel - Pengajaran yang berkaitan dengan ketabahan berdasarkan sebuah novel yang dipelajari

Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

Pengajaran yang berkaitan dengan ketabahan berdasarkan novel ini ialah kita hendaklah tabah dalam menghadapi rintangan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Buktinya, Nurul Hafsa dan Muhammad Taufik tabah menghadapi cabaran dalam usaha untuk mengembalikan kegelapan malam untuk membolehkan aktiviti pencerapan bintang dan menjaga habitat kelip-kelip. Mereka tetap berusaha dengan gigih untuk memastikan kerajaan negeri meluluskan projek Kawasan Simpan Langit Gelap di Kuala Selangor 

  Selain itu, pengajaran lain yang berkaitan dengan ketabahan ialah kita hendaklah tabah menghadapi ancaman yang membahayakan keselamatan diri. Buktinya, Muhammad Taufik tabah menghadapi risiko yang membahayakan keselamatan dirinya. Walaupun dipukul sehingga cedera parah dan diculik oleh penjahat upahan Dato' Johann Arlington-Majid, dia tetap tidak berputus asa untuk membantu Nurul Hafsa merealisasikan hasrat untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap.

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama

Novel yang saya pelajari ialah Bimasakti Menari.

Peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam novel ini ialah apabila Nurul Hafsa mengemukakan hujah yang dapat diterima oleh sekumpulan kanak-kanak dari Hiroshima, Jepun yang mengunjungi Balai Cerap Sultan Salahuddin, Kuala Selangor pada malam bintang tidak dapat dicerap dengan mata kasar akibat daripada masalah pencemaran cahaya. Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam menyampaikan hujah yang bernas dan rasional.

Selain itu, peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama ialah apabila Nurul Hafsa bekerjasama dengan Muhammad Taufik untuk melaksanakan projek Kawasan Simpan Langit Gelap bagi menangani masalah pencemaran cahaya di Kuala Selangor. Dia cuba memulihkan populasi kelip-kelip dan mengembalikan kegelapan langit di Kuala Selangor sebagai kawasan mencerap bintang dengan sokongan kerajaan negeri. Peristiwa ini menunjukkan kebijaksanaan watak utama dalam menjalankan usaha untuk melestarikan alam sekitar

19.8.21

K2 : S8 - Novel - Peristiwa yang menarik dalam novel (novel Pantai Kasih)

 Huraikan dua peristiwa yang menarik berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari. [6 markah]

Novel yang saya pelajari ialah Pantai Kasih.

Antara peristiwa yang menarik dalam novel ini ialah apabila anak tunggal Dr Raiha iaitu Rohayu meninggal dunia dalam tragedi kebakaran kereta mewah suaminya, Dr Sadiz. Peristiwa ini menarik kerana watak utama iaitu Dr Raiha begitu tabah menghadapi dugaan dalam kehidupan dan dia reda akan ketentuan takdir.

Selain itu, peristiwa yang menarik ialah apabila Dr Raiha menjalankan pembedahan sendi tulang pinggul kali keenam ke atas Unong Siron untuk membantu menyembuhkannya. Peristiwa ini menarik kerana Dr Raiha sanggup mengambil tanggungjawab dan berusaha dengan penuh dedikasi sebagai seorang doktor untuk membantu memulihkan pesakit yang sudah lama menanggung kesakitan.