Baca petikan novel di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
"Kenapa ayah tak pernah ceritakan kepada kami perkara ini?" tanya Adnan lagi.
"Ayah sengaja merahsiakannya kerana itu adalah pesanan datuk kamu. Ayah juga berpesan kepada kamu rahsiakan perkara ini dan jangan hebahkan kepada sesiapa."
"Kenapa pula ayah?" Adnan menggaru-garu kepala.
"Moyang kita penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah. Oleh itu, ayah tak mahu orang ramai memandang serong kepada kita," jawab Pak Saidi.
"Kenapa pula mereka memandang serong?" tanya Adnan lagi.
"Ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka. Ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris," jawab Pak Saidi.
"Baru saya faham, ayah. Ceritalah lagi tentang asal-usul keturunan kita," kata Adnan.
(Dipetik daripada novel Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib)
Nyatakan sebab-sebab ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka. [4 markah]
-pesanan datuk Adnan
-moyang mereka penentang Inggeris, menjadi orang buruan penjajah
-ayah Adnan tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka
-ramai yang terpengaruh akan dakyah Inggeris dengan mengatakan mereka yang menentang itu ialah penderhaka
-ada pula yang menjadi tali barut Inggeris dan mereka akan melaporkannya kepada Inggeris
(3 isi – 4 markah)
Contoh jawapan:
Ayah Adnan tidak menceritakan asal-usul keturunan mereka kerana akur akan pesanan datuk Adnan. Selain itu, perkara itu disebabkan moyang mereka merupakan penentang Inggeris dan menjadi orang buruan penjajah. Di samping itu, dia merahsiakan hal itu kerana tidak mahu orang ramai memandang serong kepada mereka.