16.12.20

Latihan Sajak 'Sang Gembala Kuda'

Soalan 2(d) – Sajak
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sang Gembala Kuda

Dia lelaki bergelar perkasa
dengan cemeti keberanian di tangan
rembat angkuhnya memacu takut
menghalau kuda-kuda di padang
berebutan memburu kandang.

Rumput dan jerami terhidang
adalah kanun janji kesetiaan
dimamah rakus kala lapar
tak peduli nasib diri setelah kenyang
jadi tunggangan memburu rakan.

Dia lelaki punya kuasa
sesekali suaranya lebih gempita
daripada ringkik kuda sekandang
pacuannya diiring seribu keberanian
meredah onak di rimba perburuan
meranduk lumpur di paya penindasan
sambil melibas cemeti durjana
dia melempar muslihat
aku penyelamat maruah
berjuang atas dasar kebenaran
menentang semua kebobrokan.

Dia lelaki sang gembala kuda
hanya mengenal pantas tunggangan
tanpa membaca keletihannya
dia lelaki sang gembala kuda
hanya tahu mengejar kehebatan
tanpa menghitung kesakitannya
dan kuda-kuda itu ditunggangi
ditunggangi dan ditunggangi!

Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Kementerian Pendidikan Malaysia.

(i) Buktikan bahawa sang gembala kuda bersikap mementingkan diri berdasarkan rangkap terakhir.
[2 markah]

(ii) Penyalahgunaan kuasa merupakan isu yang serius.
Pada pendapat anda, apakah kesan-kesannya jika masalah tersebut tidak diatasi? [3 markah]

(iii) Huraikan dua nilai murni dalam sajak di atas. [4 markah]


Cadangan jawapan:

(i) -dia hanya mahu kuda-kudanya berlari dengan pantas tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu
-dia hanya mahu mencapai kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda
-dia terus-menerus menunggang kudanya/ mengerah tenaga kudanya berlari tanpa henti/ / tanpa memberikan ruang untuk berehat [2 isi = 2m]

(ii) -rasuah makin berleluasa/ sukar dibendung
-rakyat hilang kepercayaan kepada pemimpin
-negara makin mundur
-penentangan rakyat terhadap pemerintah akan berlaku
-imej negara terjejas [3 isi = 3m]
 
(iii) Keberanian
Contohnya, penggembala kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.

Kebijaksanaan
Contohnya, penggembala kuda bijak mengawal kuda-kudanya dengan memastikan kuda-kuda itu segera masuk ke dalam kandang.

Kegigihan
Contohnya, penggembala kuda gigih menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.          [2 isi + huraian = 4m]