27.1.21

Latihan Prosa Tradisional - Kepimpinan Melalui Teladan

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah datang kepada Patih Gajah Mada, Kertala Sari pun duduk menyembah. Maka kata Patih Gajah Mada, “Hai anakku Kertala Sari, sebab aku menyuruh memanggil anakku ini, kerana pesan bapamu kepada aku, 'Jangan tiada dikasihi anakku ini,' kerana bapamu sudahlah mati dengan pekerjaan Seri Betara. Akan sekarang anakku hendak dijadikan penggawa agung."

Setelah Kertala Sari mendengar kata Patih Gajah Mada itu, maka Kertala Sari pun terlalu sukacita hatinya, seraya menyembah kaki Patih Gajah Mada.

Maka sembah Kertala Sari, "Endah apatah pekerjaan membunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu? Pada hati manira, jika negerinya pun dapat manira alahkan dengan seorang kula juga, syahadan segala anak bininya orang Melaka itu pun dapat manira ambil. Adapun jika belum manira bunuh Ratu Melaka dan Laksamana itu belum mati, tiada mahu manira jadi penggawa."

Setelah Patih Gajah Mada mendengar demikian itu maka ia pun terlalu sukacita, seraya diperjamunya makan minum dan bersuka-sukaan dan diberinya persalin.

Setelah sudah maka Kertala Sari pun dibawanya masuk menghadap Seri Betara. Maka sembah Patih Gajah Mada, "Adapun penjurit tujuh orang yang dititahkan oleh paduka Betara pergi ke Melaka itu khabarnya sudah mati dibunuh oleh Laksamana ketujuhnya.”

(i) Berikan maksud mati dengan pekerjaan. [2 markah]

(ii) Buktikan bahawa Kertala Sari mempunyai keyakinan diri yang tinggi. [3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah keuntungannya kepada Patih Gajah Mada jika Kertala Sari berjaya menjalankan tugas yang diarahkan? [3 markah] 


Jawapan:
(i) Maksud rangkai kata mati dengan pekerjaan:
-meninggal dunia/ terbunuh semasa menjalankan tugas yang diamanahkan/ diperintahkan [2m]

(ii) Bukti bahawa Kertala Sari mempunyai keyakinan diri yang tinggi:
-menganggap tugas membunuh Ratu Melaka/ Laksamana Melaka mudah dilakukan / tidak perlu difikirkan sangat
-yakin akan dapat mengalahkan negeri Melaka seorang diri
-yakin dapat menawan semua anak dan isteri orang Melaka
-enggan dilantik menjadi penggawa selagi belum membunuh Ratu Melaka dan Laksamana [3 isi : 3m]

(iii) Keuntungan kepada Patih Gajah Mada:
-mendapat pujian daripada Seri Betara
-dinaikkkan pangkat oleh Seri Betara
-disanjung oleh rakyat jelata
-dianugerahkan ganjaran / hadiah [3 isi : 3m]