8.8.21

K2 : S9 - Rumusan - Pengurusan kewangan

BAHAGIAN C : RUMUSAN [30 markah]

Soalan 9
Baca petikan dan telitikan bahan grafik di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bahan 1

        Umumnya, hanya sebilangan kecil generasi muda di negara kita yang bijak menguruskan kewangan. Kebanyakan daripada mereka gagal menguruskan kewangan atas pelbagai sebab. Antaranya, mereka lebih mementingkan gaya hidup tanpa memikirkan kesannya terhadap kemampuan kewangan mereka. Amalan suka memiliki telefon pintar atau alat berteknologi tercanggih di pasaran dan bertukar-tukar model terbaharu menjadi trend generasi kini. Hal ini menunjukkan generasi muda perlu mempunyai ilmu tentang pengurusan kewangan lebih-lebih lagi semasa berlakunya kegawatan ekonomi. Sewajarnyalah, generasi muda dinasihati supaya tidak membazir ketika berbelanja. Hal ini demikian kerana sebilangan daripada mereka gemar membeli barangan berjenama yang mahal harganya yang menyebabkan mereka menghadapi masalah dalam menguruskan kewangan. Mereka sepatutnya menyediakan senarai perbelanjaan untuk memastikan kewangan sentiasa terurus.

        Kebanyakan generasi muda yang baru memasuki alam pekerjaan perlu membayar balik wang pinjaman pembiayaan pelajaran. Dalam hal ini, mereka sepatutnya memperuntukkan sebahagian daripada pendapatan bulanan untuk membayar balik wang pinjaman tersebut. Perkara ini sangat penting bagi memastikan mereka dapat menguruskan kewangan masing-masing. Dalam hal perkahwinan pula, pada masa ini kos yang tinggi diperlukan untuk memulakan penghidupan baharu dalam berkeluarga. Oleh hal yang demikian, pasangan yang baru berkahwin disarankan supaya tinggal bersama-sama ibu bapa sebagai langkah penjimatan. Dalam tempoh berkenaan, pasangan tersebut dapat menjimatkan wang untuk persediaan bagi membeli rumah sendiri. Sebenarnya, pembelian rumah pada usia muda adalah lebih baik untuk mendapatkan tempoh pembiayaan yang lebih anjal. Bagi pasangan yang menyewa rumah, mereka perlulah memastikan kadar sewaan rumah tidak melebihi 30 peratus pendapatan bulanan isi rumah.

        Kita juga janganlah mengikut nafsu ketika berbelanja terutamanya apabila kita mempunyai wang yang lebih. Sebagai contoh, apabila mendapat bonus, pelbagai keinginan akan terlintas dalam fikiran seperti kereta baharu, perabot baharu dan percutian. Sesungguhnya kejayaan dalam pengurusan kewangan seseorang bergantung pada usaha masing-masing.


Bahan 2 : Grafik