8.8.21

K2 : S9 - Rumusan - Pemanasan global

BAHAGIAN C : RUMUSAN [30 markah]

Soalan 9
Baca petikan dan telitikan bahan grafik di bawah, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Bahan 1
 

             Pemanasan global merupakan fenomena pemerangkapan gas yang dikenali sebagai gas rumah hijau. Sifat kumpulan gas ini ialah membenarkan bahang matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula bahang dari bumi ke atmosfera. Contoh gas rumah hijau ialah karbon dioksida, karbon monoksida, kloroflorokarbon (CFC), metana dan nitrogen oksida.

            Fenomena pemanasan global telah lama mendapat perhatian pakar meteorologi dan pakar sains di seluruh dunia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pemanasan global menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan. Buktinya, benua Eropah yang biasa dikaitkan dengan cuaca sejuk kini telah berubah coraknya menjadi panas. Fenomena ini juga diramal akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi. Di samping itu, pemanasan melampau mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti. Misalnya, beberapa tahun yang lalu negara kita pernah mengalami kenaikan harga makanan yang mendadak berikutan banyak tanaman musnah akibat cuaca yang tidak menentu.

            Pelepasan asap kenderaan dan kilang serta pembakaran terbuka telah menyebabkan pembebasan gas karbon dioksida berlebihan atmosfera. Oleh itu, kita sewajamya mengurangkan pelepasan gas-gas berbahaya ke udara dan mengelakkan pembakaran terbuka. Peningkatan gas karbon dioksida akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan manusia terdedah kepada pelbagai jenis penyakit akibat fenomena alam yang membimbangkan ini. Contohnya, penyakit berkaitan kulit disebabkan oleh kepanasan melampau yang membunuh sel-sel kulit dan penyakit katarak mata yang berpunca daripada pendedahan terhadap cahaya ultraungu secara berlebihan.

            Perkara yang lebih membimbangkan masyarakat dunia adalah apabila kepanasan global turut menyebabkan berlakunya kematian di beberapa buah negara. Menurut jurnal Nature, pemanasan global akan mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat. Sehubungan dengan hal itu, penduduk dunia harus mengubah cara hidup agar alam kembali sihat. Sumbangan paling mudah adalah dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan mengutamakan pengangkutan awam. Sekurang-kurangnya, sedikit sumbangan yang dilakukan mampu melambatkan kemusnahan bumi.


 Bahan 2 : Grafik