9.8.21

K2 : S4 - Bahasa Melayu Standard

Soalan 4 : BAHASA MELAYU STANDARD
Baca petikan bahasa Melayu Klasik di bawah ini dengan telitinya. Kemudian, tulis petikan tersebut semula dalam bahasa Melayu Standard tanpa mengubah bentuk dan maksud asalnya.

Contoh:

Bahasa Melayu Klasik

Bahasa Melayu Standard

Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah.

 

Pada masa itu Tuan Sidi Arab datang menghadap Sultan Muzaffar Syah.

Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda.

 

Setelah Tuan Sidi Arab mendengar berita bahawa Cau Pandan akan menyerang Melaka, dia berdiri di hadapan Sultan Muzaffar Syah.

Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam.

 

Dia pun menghalakan panahnya ke arah negara Siam.

Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

Sambil menarik panahnya itu, Tuan Sidi Arab berkata, “Mati engkau, Cau Pandan.”

 

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; lalu bertitah kepada Tuan Sidi Arab, “Jikalau Cau Pandan betul-betul mati, tuan memang orang yang keramat / hebat.”

 

Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati.

 

Cau Pandan yang pada masa itu berada di negara Siam, berasa dadanya seperti kena panah. Lalu dia pun sakit sehingga memuntahkan darah dan mati.

Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu.

 

Siam pun membatalkan rancangan untuk menyerang Melaka kerana Cau Pandan telah mati.

 

 Jawapan:

Pada masa itu Tuan Sidi Arab datang menghadap Sultan Muzaffar Syah. Setelah Tuan Sidi Arab mendengar berita bahawa Cau Pandan akan menyerang Melaka, dia berdiri di hadapan Sultan Muzaffar Syah. Dia pun menghalakan panahnya ke arah negara Siam. Sambil menarik panahnya itu, Tuan Sidi Arab berkata, “Mati engkau, Cau Pandan.” Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; lalu bertitah kepada Tuan Sidi Arab, “Jikalau Cau Pandan betul-betul mati, tuan memang orang yang hebat.” Cau Pandan yang pada masa itu berada di negara Siam, berasa dadanya seperti kena panah. Lalu dia pun sakit sehingga memuntahkan darah dan mati. Siam pun membatalkan rancangan untuk menyerang Melaka kerana Cau Pandan telah mati.